Sunday, July 3, 2016

Kenapa Bona Fida?

Pada artikel Bermulanya satu jenama ada disebut bahawa nama "Bona Fida" terbit atas cadangan suami. Dengan itu biarlah dia yang menerangkan perkara. Tulisannya menyusul di bawah ini...





Assalamualaikum semua. Saya, suami kepada Nor Afidah @ Fida Anggun adalah seorang bekas wartawan dan penulis buku yang memakai nama pena Radzi Sapiee. Tetapi ramai kini lebih mengenali saya sebagai Merah Silu. Boleh rujuk blogspot utama saya CATATAN SI MERAH SILU (saya ada 3 blogspot + 1 khas untuk aktiviti NGO). Sebagai seorang yang pernah belajar matematik di London selama 4 tahun (1991-1995) kemudian menjadi wartawan akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times selama 5 tahun (1996-2001), vocabulary atau perbendaraan kata saya dalam bahasa Inggeris kira boleh tahan. Antara perkataan menarik yang saya tahu adalah bona fide, satu terma yang berasal daripada bahasa Latin, tetapi sering digunakan dalam bahasa Inggeris untuk menyatakan suatu benda/perkara itu asli atau boleh dipercayai.

Di atas adalah gambar grab screen yang diambil apabila perkataan "bona fide" dicari melalui Google. Bila disebut bona fide adalah genuine, real ia membawa makna asli (genuine) juga nyata (real). Perkataan bona fide turut digunakan dalam proses undang-undang di mahkamah. Ia membawa makna "in good faith" (dengan niat baik) sedangkan lawannya adalah mala fide (berniat jahat). Dalam bahasa Melayu perkataan mala fide biasa saya dengar digunakan di mahkamah di Malaysia (baca kat surat khabar). Perkataan bona fide saya tak ingat pernah dengar dipakai ke tidak...

Apapun ia berasal daripada terma yang membawa makna good faith. Nampaknya bona bermakna baik (good), fide bermaksud niat (faith daripada segi bahasa membawa maksud keyakinan, tetapi dalam konteks penggunaan di sini ia membawa maksud niat). Ia adalah satu terma yang sudah saya tahu dan kenali sejak zaman sekolah menengah lagi melalui pembacaan buku dan cerita. Tetapi cuma baru ini terasa sesuai untuk digunakan dengan sedikit perubahan bagi isteri.



Saya tak ingat secara terperinci bagaimana ia boleh berlaku. Yang saya ingat, pagi itu Jumaat 26 Ramadhan 1437 Hijriah ketika berbaring bersama selepas solat Subuh saya terfikir betapa selama ini isteri selalu menjaga keperluan pakaian saya apabila keluar berbusana tradisional Melayu menemui umum. Untuk pengetahuan, saya mula suka berpakaian begini sejak menganjurkan acara kedua sebuah NGO yang saya asaskan sendiri atas saranan isteri. Ini berlaku pada penghujung tahun 2012. Lihat blogspot  Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).

Lihat gambar atas. Beginilah saya berpakaian pada acara tersebut. Itu adalah kali pertama saya memakai tanjak untuk ke majlis, sebelum itu, kalau berpakaian Melayu pun saya cuma tahu pakai baju Melayu biasa, sampin dan songkok. Tetapi mulai hari itu saya mula belajar bergaya memakai sekali tanjak dan capal dengan keris tersisip pada pinggang...

Kami suami isteri sampai sanggup pusing satu kawasan Masjid India dan sekitarnya untuk mencari set tanjak yang sesuai tetapi tidak mahal untuk dipakai pada majlis. Ini adalah atas saranan kawan-kawan yang sudah lebih awal memakai busana tradisional Melayu. Kata mereka saya sudah patut berpakaian begitu kerana mahu menjalankan aktiviti-aktiviti NGO atas nama mendaulatkan Melayu dan Islam. Saya pun menyahut saranan lalu isteri pun turut selalu memakai busana tradisional ke merata majlis.

Kami bermula dengan apa-apa pakaian yang sedia ada, baju Melayu daripada 5-6 tahun terdahulu termasuk pakaian lama berhari raya dan sebagainya. Ini dipadankan dengan set tanjak yang baru dibeli, sampin dan bengkung yang sesuai. Isteri selalu dapat memilih pakaian yang terbaik untuk saya. Untuk dirinya sendiri dia malah lebih pandai menggayakan pelbagai rupa, menggabungkan pelbagai reka bentuk tudung, warna dan cara pakai dengan baju kurung, kebaya dan sebagainya. Maklumlah isteri sebenarnya meminati bidang kecantikan dan memiliki beberapa sijil kelayakan dalam bidang. Cuma beliau sudah lama melupakan ia demi memberikan tumpuan kepada keluarga.



Ini adalah gambar kami berdua pada satu majlis penghujung 2014. Ketika itu kami masih lagi dalam peringkat mix and match apa-apa pakaian yang kami ada untuk dipadankan dengan tanjak yang ditempah dan sebagainya. Masuk tahun 2015 isteri kembali menjahit pakaian sendiri... setelah lama tidak berbuat begitu kerana mesin jahitnya sudah lama rosak. Setelah beberapa tahun baru timbul rasa untuk memperbaiki lalu memanfaatkan mesin bagi kami sekeluarga.

Kini kami sudah memiliki banyak pasangan kain, baju serta seluar yang dijahit sendiri, Paling kurang pun isteri boleh alter pakaian yang dibeli di kedai untuk menimbulkan kelainan. Busana tradisional Melayu yang kami gayakan hasil kreativiti beliau telah dipakai pada puluhan kalau tidak pun lebih seratus majlis termasuk yang melibatkan para pejuang kebudayaan dan silat. Alhamdulillah, kelibat kami suami isteri cukup dikenali ramai kerana agak aktif dengan aktiviti-aktiviti NGO kami.



Memikirkan hal ini pada pagi selepas Subuh Ramadhan 2016 saya rasa sudah sampai masanya gaya dan cara isteri mengenakan pakaian untuk saya juga kepada dirinya sendiri turut dimanfaat bagi orang lain. Sudah sampai masa hal ini dibuka kepada umum dan dijenamakan. Terus terbit dalam fikiran nama Bona Fida sebagai jenama. Ini kerana selain hampir menyamai perkataan bona fide yang bermaksud asli juga berniat baik seperti disebut pada awal artikel ini ia juga mengandungi nama panggilan isteri iaitu Fida.

Bila Google perkataan "Bona Fida" saya dapati ia juga digunakan atas sebab kesalahan mengeja perkataan bona fide. Maka itu ia juga mengekalkan maksud asli dan berniat baik selain mengandungi nama panggilan isteri. Selain itu ia boleh disebut "Bon Afida". Ini serupa dengan sebutan bahasa Peranchis yang menyebut "Bon Appetit" untuk menyatakan "Nikmatilah makanan anda" dan "Bon Voyage" untuk "Nikmatilah pengembaraan/perjalanan anda". Maka "Bon Afida" boleh dikira bermakna "Nikmatilah hasil kerja Afida" yang mana Afida juga satu panggilan untuk isteri saya (namanya kan Nor Afidah?).

Pendek kata, nama Bona Fida untuk jenama pakaian isteri juga barang-barang lain yang bersangkutan termasuk produk-produk kesihatan dan kecantikan sangatlah sesuai dan bermakna untuk kami gunakan. Doakan semoga usaha ini mendapat kejayaan dan terus berikan sokongan. Amin... :]




No comments:

Post a Comment