Monday, July 11, 2016

Gaya Bona Fida untuk minggu pertama Syawal 1437 Hijriah

Lima hari lalu iaitu pada malam hari raya pertama saya telah membuat artikel Selamat menyambut hari raya Aidil Fitri tetapi menggunakan gambar-gambar yang memperagakan busana tradisional Melayu daripada perayaan tahun lepas. Sekarang bolehlah ditunjukkan gambar-gambar daripada perayaan tahun ini...



Ini gambar suami saya di hadapan mimbar Masjid Jamek Muar selepas selesai bersolat sunat raya pagi Rabu. Pakaian yang dikenakan saya pilih baju dan seluar putih dengan sampin dan tanjak berwarna merah. Pakaian serupa pernah digayakan oleh suami ketika menganjurkan acara ke-16 kelolaan NGO kami yang bernama HIKMAH. Cuma ketika itu ia dipakai bersama baju sikap iaitu serupa vest. Lihat artikel Acara keenam belas HIKMAH di University of Life @ rumah S.H.Alattas, Janda Baik 30-31 Jan 2016 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).



Saya pula mengenakan baju baru tetapi menggunakan kain yang sudah lama disimpan oleh bapa mertua. Beliau membelinya di Bangkok, Thailand ketika berkhursus lama di sana sekitar tahun 1980an. Tahu-tahu saja satu hari kain dihadiahkan kepada saya. Saya pun menjadikan ia baju kurung Melayu. Alhamdulillah siap untuk dipakai pada pertengahan bulan Ramadhan.



Bergambar bersama anak beranak. Anak-anak kecil kami Rasyid dan Johan menggayakan kombinasi baju yang turut dipadankan atas nama Bona Fida. Tanjak karangan saudara Hamzah @ Seri Maulid dihasilkan atas jenama kami setelah mencapai satu persetujuan. Lihat cerita berkenaan dalam artikel Langkah 131 dan 313 untuk jenama Bona Fida.


Hari kedua Syawal baru kami memperagakan pakaian sambil berziarah ke rumah saudara mara dan sahabat handai.






Baju suami menggunakan songket Sarawak adalah antara busana terbaru kami yang dapat disiapkan pada pertengahan bulan Ramadhan, Dipadankan dengan seluar silat hitam sedikit berhias yang saya jahit dan siapkan penghujung tahun lepas.


Kain songket serupa pula saya pakai di bawah, dipadankan dengan baju merah jambu.


Bergambar bersama sepupu suami dan isterinya Suraya, dahulu DJ di stesyen radio Hot FM, kini bersama Suria FM. Beliau yang mahu kami bergambar sama. Katanya untuk dipromosikan. saya tak pasti apakah di Facebook, Instagram atau mana-mana wadah lain.




Pakaian kami anak beranak pada hari ketiga Syawal, kali ini di kampung saya di Tanjung Sepat, Banting, Selangor.



Baju yang saya pakai juga adalah hasil terbaru yang siap pertengahan Ramadhan.


Begitu juga baju suami. Pakaian anak-anak kami padankan daripada beberapa sumber termasuk seluar dan bengkung jahitan saya.





Bersama adik beradik saya dan keluarga mereka. Ini baru 1/3 kerana saya adalah anak ke-11 daripada 13 orang adik beradik. Abang sulung dah berumur 60an. Beberapa orang abang dan kakak sudah memiliki sejumlah cucu.



Gaya hari raya keempat, masih di Tanjung Sepat.


Untuk hari tersebut saya diilhamkan untuk membanyakkan warna kuning.



Mungkin kerana petang itu kami akan berziarah ke makam Sultan Abdul Samad, Sultan ke-4 Selangor. Walhal tak terfikir pun mahu ke sana. Suami yang mengajak memandangkan makam terletak tidak jauh dari laluan kembali ke rumah sendiri di Sungai Buaya, Rawang, Untuk cerita-cerita yang lebih terperinci sila masuk blogspot utama suami, CATATAN SI MERAH SILU. Cerita telah diatur menurut hari seperti berikut :-







Wednesday, July 6, 2016

Selamat menyambut hari raya Aidil Fitri

Salam semua. Salam 1 Syawal. Sempena sudah masuknya tarikh kita menyambut hari raya Aidil Fitri dan beberapa jam lagi kita akan bersolat sunat hari raya ingin saya berkongsi beberapa gambar berkaitan. Ini adalah daripada koleksi gambar-gambar suami saya bagi bulan Julai tahun lepas. Ia menunjukkan keadaan kami menyambut hari raya dan pertama diikuti hari raya kedua. Untuk cerita boleh lihat artikel Pertama kali berbusana tradisional 1 Syawal di blogspot utama suami saya, CATATAN SI MERAH SILU. Lihat juga cerita yang boleh dikira susulan iaitu Beraya awal minggu ke-3 ganti shooting Daulah Melayu.

Tahun ini kami menyambut hari raya pertama dan kedua di tempat sama iaitu Muar, kampung ibu kepada suami. Insyaallah kami akan memakai pakaian atau busana tradisional Melayu yang lebih meriah kali ini. Pakaian yang dipakai akan menunjukkan lebih baik sentuhan jenama Bona Fida. Nanti bila ada kelapangan akan saya kongsikan gambar-gambar terbaru ya. Selamat menyambut hari raya Aidil Fitri, maaf zahir batin daripada kami sekeluarga.

















































Sunday, July 3, 2016

Langkah 131 dan 313 untuk jenama Bona Fida

Wah. Nampaknya begitu bersemangat suami saya mahu membantu agar jenama Bona Fida mendapat tempat dan perhatian ramai. Baru beberapa minit tadi dia telah menulis satu artikel berkenaan di blogspot utama beliau, CATATAN SI MERAH SILU. Saya copy paste ke sini dengan gambar-gambar dibesarkan ya...


-----------------


Merujuk pada artikel Misi malam Tujuh Likur - Iktikaf di 11 buah masjid dalam tempoh kurang 24 jam yang telah dipersembahkan petang ini. Ini kiranya adalah cerita susulan...



Ada pun antara sebab utama saya tidak keluar beriktikaf lama pada bulan Ramadhan kali ini  lalu kembali ke rumah selepas Subuh kurang 24 jam setelah keluar adalah disebabkan tengah hari itu saya harus menemani isteri mengambil 3 buah tanjak yang ditempah untuk  anak-anak lelaki kami. Tanjak-tanjak itu mahu dipakai pada hari raya dan ia dibuat oleh saudara Hamza yang berpengkalan di Teluk Intan, Perak. Sepatutnya dia dah pos tanjak-tanjak ini tetapi disebabkan hal tertentu dia terlewat lalu proses pos tidak dapat dilakukan kerana perkhidmatan ditutup untuk musim hari raya. Kebetulan terdapat beberapa lagi tanjak yang ditempah orang lain di sekitar Lembah Klang turut 'tersangkut' sama. Maka Hamzah membuat keputusan untuk turun sebentar ke Kuala Lumpur bagi menyerahkan tanjak-tanjak kepada para penempah atau pemiliknya.






Kebetulan juga penyerahan tanjak ini berlaku sehari lebih setelah kami suami isteri membuat keputusan untuk menerbitkan satu jenama untuk pakaian dan busana tradisional Melayu juga untuk produk-produk kesihatan dan kecantikan di bawah selenggaraan isteri. Sebetulnya sebelum keluar beriktikaf sehingga ke Tanjung Malim tengah hari Jumaat 26 Disember 2016 saya telah membantu isteri membuat satu blogspot untuk memperkenalkan jenama yang dipanggil Bona Fida berdasarkan nama beliau, Sila klik BONA FIDA untuk ke blogspot. Tentang pemilihan nama telah diterangkan panjang lebar pada artikel Kenapa Bona Fida? yang saya tuliskan untuk isteri sebelum sahur pagi Sabtu tadi.



Pertemuan dengan Hamza diadakan di hadapan stesyen LRT Masjid Jamek. Selepas itu kami mengambil Lebuh Ampang dalam perjalanan untuk keluar daripada Kuala Lumpur. Tengok-tengok ada pula kereta dengan nombor plet BFD 1313 di hadapan. Ah! Ini macam petanda baik bagi usaha kami suami isteri. Ini kerana BFD iaitu seperti singkatan untuk Bona Fida. Nombor 1313 pula adalah 4 nombor terakhir telefon rumah kami. Kami sukakan ia kerana mengandungi nombor 131 juga 313. Ada pun 131 bagi kami melambangkan home sweet home atau rumahku syurgaku, 313 adalah nombor perjuangan untuk memartabatkan Islam.



Seolah-olah juga perbincangan kami bersama Hamza yang lebih dikenali sebagai Seri Maulid di Internet kerana sudah cukup terkenal dengan tanjak-tanjak hasil karangan tangannya mendapat restu. Ada pun beliau sudah bersetuju untuk membekalkan tanjak-tanjak tertentu bagi dipasarkan dan dipromosikan atas nama Bona Fida. Ini dibuat supaya kami boleh melengkapkan koleksi pakaian busana yang mahu ditawarkan kepada umum. Model perniagaan kami adalah menggabungkan pelbagai produk yang dihasilkan kawan-kawan kami, atas nama Bona Fida mengambil kesempatan atas hal kami suami isteri sudah dikenali ramai kerana suka menggayakan busana tradisional Melayu yang diatur malah ada yang dijahit sendiri oleh isteri. 

Hal ini boleh dirujuk melalui artikel-artikel berikut :-







Untuk makluman sejak penghujung 2012 kami sering hadir ke majlis-majlis ilmu, budaya dan persilatan dengan memakai busana tradisional Melayu yang kami padankan sendiri melalui kreativiti isteri. Malah beliau selalu membantu saya menjalankan kerja-kerja NGO berkaitan demi mendaulatkan Melayu dan Islam. Masuk blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) dan lihat...



Harap para pembaca sekalian boleh mendoakan kejayaan usaha terbaru kami ini ya. Bab perniagaan saya serahkan kepada isteri, saya cuma akan membantu sikit-sikit kerana tumpuan saya adalah pada kerja-kerja perjuangan juga penulisan. Tolong masuk, like dan share Face Book page Bona Fida. Tolong sebarkan ia ke merata sejagat raya. Sila klik Bona Fida page untuk masuk ke sana...

Kenapa Bona Fida?

Pada artikel Bermulanya satu jenama ada disebut bahawa nama "Bona Fida" terbit atas cadangan suami. Dengan itu biarlah dia yang menerangkan perkara. Tulisannya menyusul di bawah ini...





Assalamualaikum semua. Saya, suami kepada Nor Afidah @ Fida Anggun adalah seorang bekas wartawan dan penulis buku yang memakai nama pena Radzi Sapiee. Tetapi ramai kini lebih mengenali saya sebagai Merah Silu. Boleh rujuk blogspot utama saya CATATAN SI MERAH SILU (saya ada 3 blogspot + 1 khas untuk aktiviti NGO). Sebagai seorang yang pernah belajar matematik di London selama 4 tahun (1991-1995) kemudian menjadi wartawan akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times selama 5 tahun (1996-2001), vocabulary atau perbendaraan kata saya dalam bahasa Inggeris kira boleh tahan. Antara perkataan menarik yang saya tahu adalah bona fide, satu terma yang berasal daripada bahasa Latin, tetapi sering digunakan dalam bahasa Inggeris untuk menyatakan suatu benda/perkara itu asli atau boleh dipercayai.

Di atas adalah gambar grab screen yang diambil apabila perkataan "bona fide" dicari melalui Google. Bila disebut bona fide adalah genuine, real ia membawa makna asli (genuine) juga nyata (real). Perkataan bona fide turut digunakan dalam proses undang-undang di mahkamah. Ia membawa makna "in good faith" (dengan niat baik) sedangkan lawannya adalah mala fide (berniat jahat). Dalam bahasa Melayu perkataan mala fide biasa saya dengar digunakan di mahkamah di Malaysia (baca kat surat khabar). Perkataan bona fide saya tak ingat pernah dengar dipakai ke tidak...

Apapun ia berasal daripada terma yang membawa makna good faith. Nampaknya bona bermakna baik (good), fide bermaksud niat (faith daripada segi bahasa membawa maksud keyakinan, tetapi dalam konteks penggunaan di sini ia membawa maksud niat). Ia adalah satu terma yang sudah saya tahu dan kenali sejak zaman sekolah menengah lagi melalui pembacaan buku dan cerita. Tetapi cuma baru ini terasa sesuai untuk digunakan dengan sedikit perubahan bagi isteri.



Saya tak ingat secara terperinci bagaimana ia boleh berlaku. Yang saya ingat, pagi itu Jumaat 26 Ramadhan 1437 Hijriah ketika berbaring bersama selepas solat Subuh saya terfikir betapa selama ini isteri selalu menjaga keperluan pakaian saya apabila keluar berbusana tradisional Melayu menemui umum. Untuk pengetahuan, saya mula suka berpakaian begini sejak menganjurkan acara kedua sebuah NGO yang saya asaskan sendiri atas saranan isteri. Ini berlaku pada penghujung tahun 2012. Lihat blogspot  Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).

Lihat gambar atas. Beginilah saya berpakaian pada acara tersebut. Itu adalah kali pertama saya memakai tanjak untuk ke majlis, sebelum itu, kalau berpakaian Melayu pun saya cuma tahu pakai baju Melayu biasa, sampin dan songkok. Tetapi mulai hari itu saya mula belajar bergaya memakai sekali tanjak dan capal dengan keris tersisip pada pinggang...

Kami suami isteri sampai sanggup pusing satu kawasan Masjid India dan sekitarnya untuk mencari set tanjak yang sesuai tetapi tidak mahal untuk dipakai pada majlis. Ini adalah atas saranan kawan-kawan yang sudah lebih awal memakai busana tradisional Melayu. Kata mereka saya sudah patut berpakaian begitu kerana mahu menjalankan aktiviti-aktiviti NGO atas nama mendaulatkan Melayu dan Islam. Saya pun menyahut saranan lalu isteri pun turut selalu memakai busana tradisional ke merata majlis.

Kami bermula dengan apa-apa pakaian yang sedia ada, baju Melayu daripada 5-6 tahun terdahulu termasuk pakaian lama berhari raya dan sebagainya. Ini dipadankan dengan set tanjak yang baru dibeli, sampin dan bengkung yang sesuai. Isteri selalu dapat memilih pakaian yang terbaik untuk saya. Untuk dirinya sendiri dia malah lebih pandai menggayakan pelbagai rupa, menggabungkan pelbagai reka bentuk tudung, warna dan cara pakai dengan baju kurung, kebaya dan sebagainya. Maklumlah isteri sebenarnya meminati bidang kecantikan dan memiliki beberapa sijil kelayakan dalam bidang. Cuma beliau sudah lama melupakan ia demi memberikan tumpuan kepada keluarga.



Ini adalah gambar kami berdua pada satu majlis penghujung 2014. Ketika itu kami masih lagi dalam peringkat mix and match apa-apa pakaian yang kami ada untuk dipadankan dengan tanjak yang ditempah dan sebagainya. Masuk tahun 2015 isteri kembali menjahit pakaian sendiri... setelah lama tidak berbuat begitu kerana mesin jahitnya sudah lama rosak. Setelah beberapa tahun baru timbul rasa untuk memperbaiki lalu memanfaatkan mesin bagi kami sekeluarga.

Kini kami sudah memiliki banyak pasangan kain, baju serta seluar yang dijahit sendiri, Paling kurang pun isteri boleh alter pakaian yang dibeli di kedai untuk menimbulkan kelainan. Busana tradisional Melayu yang kami gayakan hasil kreativiti beliau telah dipakai pada puluhan kalau tidak pun lebih seratus majlis termasuk yang melibatkan para pejuang kebudayaan dan silat. Alhamdulillah, kelibat kami suami isteri cukup dikenali ramai kerana agak aktif dengan aktiviti-aktiviti NGO kami.



Memikirkan hal ini pada pagi selepas Subuh Ramadhan 2016 saya rasa sudah sampai masanya gaya dan cara isteri mengenakan pakaian untuk saya juga kepada dirinya sendiri turut dimanfaat bagi orang lain. Sudah sampai masa hal ini dibuka kepada umum dan dijenamakan. Terus terbit dalam fikiran nama Bona Fida sebagai jenama. Ini kerana selain hampir menyamai perkataan bona fide yang bermaksud asli juga berniat baik seperti disebut pada awal artikel ini ia juga mengandungi nama panggilan isteri iaitu Fida.

Bila Google perkataan "Bona Fida" saya dapati ia juga digunakan atas sebab kesalahan mengeja perkataan bona fide. Maka itu ia juga mengekalkan maksud asli dan berniat baik selain mengandungi nama panggilan isteri. Selain itu ia boleh disebut "Bon Afida". Ini serupa dengan sebutan bahasa Peranchis yang menyebut "Bon Appetit" untuk menyatakan "Nikmatilah makanan anda" dan "Bon Voyage" untuk "Nikmatilah pengembaraan/perjalanan anda". Maka "Bon Afida" boleh dikira bermakna "Nikmatilah hasil kerja Afida" yang mana Afida juga satu panggilan untuk isteri saya (namanya kan Nor Afidah?).

Pendek kata, nama Bona Fida untuk jenama pakaian isteri juga barang-barang lain yang bersangkutan termasuk produk-produk kesihatan dan kecantikan sangatlah sesuai dan bermakna untuk kami gunakan. Doakan semoga usaha ini mendapat kejayaan dan terus berikan sokongan. Amin... :]




Friday, July 1, 2016

Bermulanya satu jenama


Assalamualaikum semua. Selamat sejahtera diucapkan, semoga semuanya ceria menghadapi hari-hari terakhir berpuasa bulan Ramadhan ini. Mengambil kesempatan atas pagi Jumaat 26 Ramadhan yang berkat ini ingin saya menyatakan sesuatu. Atas saranan suami yang memahami betapa saya suka pada dunia busana tradisional Melayu juga hal-hal berkaitan kecantikan dan kesihatan beliau telah mencadangkan agar saya memulakan satu jenama. Nama yang dicadangkan adalah Bona Fida lalu suami memberikan sebab-sebabnya. Apakah sebab-sebab itu? Biar dikongsikan pada kesempatan yang lain. Di sini, pada awal pagi ini yang mana sebentar lagi saya harus bersiap untuk keluar ke pejabat cukuplah hasrat untuk memulakan jenama Bona Fida ini diumumkan. Tunggu kesempatan lain untuk butiran lanjut ya. Doakan usaha ini berjaya dan mendapat keberkatan daripada Yang Maha Kuasa. Amin ya Rabbul Alamin...